6.6.10

40 HADIS PERISTIWA AKHIR ZAMAN- Hadis Ketiga : -

Hadis Ketiga : -

SELURUH DUNIA DATANG MENGERUMINI
DUNIA ISLAM

H.R. ABU DAUD

Daripada Tsauban ra berkata : Rasulullah saw bersabda : "Hampir tiba suatu masa di mana bnagsa-bangsa dari seluruh dunia akan datang mengerumuni kamu bagaikan orang-orang yang hendak makan mengerumuni talam hidangan mereka". Maka salah seorang sahabat bertanya, "Apakah dari kerana kami sedikit pada hari itu?" Nabi saw menjawab, "Bahkan kamu pada hari itu banyak sekali, tetapi kamu umpama buih di waktu banjir, dan Allah akan mencabut rasa gerun terhadap kamu dari hati musuh-musuh kamu, dan Allah akan mencampakkan ke dalam hati kamu penyakit 'wahan'. Seorang sahabat bertanya, "Apakah wahan itu wahai Rasulullah?". Nabi menjawab : "Cinta pada dunia dan takut pada mati".

Memang benar apa yang disabdakan oleh Rasulullah saw itu. Keadaan umat Islam pada hari ini, menggambarkan kebenaran apa yang disabdakan oleh Rasulullah saw. Umat Islam walaupun mereka mempunyai bilangan yang banyak iaitu 1,000 juta (1/5 penduduk dunia) tetapi mereka selalu dipersendakan dan menjadi alat permainan bangsa-bangsa lain. Mereka di tindas, di injak-injak, di sakiti, dibunuh dan sebagainya. Bangsa-bangsa dari seluruh dunia walau pun berbeza-beza agama, mereka bersatu untuk melawan dan melumpuhkan kekuatannya.

Sebenarnya segala kekalahan kaum Muslimin adalah berpunca dari dalam diri kaum muslimin itu sendiri, iaitu dari penyakit 'wahan' yang merupakan penyakit campuran dari dua unsur yang selalu wujud dalam bentuk kembar dua, iaitu "cinta dunia" dan "takut mati". Kedua-dua penyakit itu tidak dapat dipisahkan. Cinta dunia bermakna tamak, rakus, bakhil dan tidak mahu mendermakan harta ke jalan Allah SWT. Takut mati pula bermakna leka dengan kehidupan dunia dan tidak membuat persiapan untuk menghadapi negeri akhirat dan tidak ada perasaan untuk berkorban dengan diri dan jiwa dalam memperjuangkan agama Allah SWT.

Kita berdoa agar Allah SWT menurunkan nusrahNya kepada kaum muslimin dan memberikan kepada mereka kejayaan di dunia dan di akhirat.