11.6.10

GURINDAM NASIHAT - Sedar Diri

Apabila banyak berkata-kata, Di situ jalan masuk dusta.

Apabila kita kurang siasat, Itulah tanda pekerjaan hendak sesat.

Apabila anak tidak dilatih, Jika besar bapanya letih.

Apabila banyak mencela orang, Itulah tanda dirinya kurang.

Apabila orang banyak tidur, Sia-sia sahajalah umur.

Apabila mendengar akan khabar, Menerimanya itu hendaklah sabar.

Apabila mendengar akan aduan, Membicarakannya itu hendaklah cemburuan.

Apabila perkataan yang lemah lembut, Lekaslah orang mengikut.

Apabila perkataan yang amat kasar, Lekaslah orang sekalian gusar.

Apabila pekerjaan yang amat benar, Tidak boleh orang berbuat onar.

Jika sedikit pun berbuat bohong, Boleh diumpamakan mulutnya itu pekung.

Tanda orang yang amat celaka, Aib dirinya tiada ia sangka.

Bakhil jangan diberi singgah, Itulah perompak yang amat gagah.

Barang siapa perkataan kotor, Mulutnya umpama ketur.

Di mana tahu salah diri, Jika tidak orang yang lain berperi.

Apabila banyak berlebih-lebih suka, Itulah tanda hampirkan duka.

Barang siapa khianat dirinya, Apa lagi kepada yang lainnya.

Kepada dirinya ia aniaya, Orang itu jangan kau percaya.

Lidah yang suka membenarkan dirinya, Daripada yang lain dapat kesalahannya.

Daripada memuji diri hendaklah sabar, Biar daripada orang datangnya khabar.

Orang yang suka menampakkan jasa, Setengah daripada syirik mengaku kuasa.

Raja muafakat dengan menteri, Seperti kebun berpagarkan duri.

Betul hati kepada raja, Tanda jadi sebarang kerja.

Hukum adil atas rakyat, Tanda raja beroleh inayat.

Kasihkan orang yang berilmu, Tanda rahmat atas dirimu.

Hormat akan orang yang pandai, Tanda mengenal kasa dan cindai.




janjiku