5.6.10

Ilmu Tasawuf (Kitab Zaadu al-Mutaa’llim): Syarat-Syarat Bertaubat

Kitab Zaadu al-Muta'allim(Bab Tasawuf) Sambungan(Bahagian 3)

Syarat-syarat taubat:
1. Meninggalkan perkara yang jadi berdosa dengan sebabnya.
2. Menyesal di atas perbuatan yang jadi berdosa itu.
3. Bercita-cita tidak akan kembali melakukan perbuatannya itu.
4. Mengembalikan hak-hak makhluk yang dizholimi.
5. Mengerjakan fardhu-fardhu yang telah luput.

Huraian:

Sebagaimana yang kita ketahui dalam melakukan sesuatu ibadah terutamanya ibadah wajib maka sudah barang pasti perlu menuruti garis panduan dan syarat-syarat yang perlu dituruti. Dalam solat misalnya, terdapat syarat-syarat yang mesti dipatuhi, begitu juga puasa, ibadah haji, zakat dan sebagainya. Begitulah juga halnya dengan bertaubat. Taubat juga merupakan suatu ibadah yang sangat-sangat dituntut ke atas manusia terutama yang banyak melakukan dosa. Perlu diingat tiap-tiap kita ni pasti melakukan kesilapan dan dosa. Sebaik-baik mereka yang berdosa ialah bertaubat. Bagi memastikan taubat manusia betul-betu berkualiti dan dengan harapan ianya diterima oleh Allah, maka terdapat beberapa syarat yang perlu dipatuhi. Dalam kitab ini pengarang menukilkan terdapat lima syarat yang perlu dilaksanakan sebagaimana yang tersebut di atas. Syarat-syarat tersebut ialah:


1)Meninggalkan Perkara Yang Jadi Berdosa Dengan Sebabnya
Iaitu, meninggalkan perkara yang maksiat atau mendatangkan dosa tersebut. Maka tidak dinamakan taubat jika sekiranya masih mengekalkan perbuatan maksiat yang dilakukan sebelum ini. Orang yang bertaubat ialah mereka yang berhenti terus daripada buat maksiat. Ada orang bila buat sesuatu dosa, kemudian kembali bertaubat, kemudian kembali melakukan dosa yang sama dan begitulah seterusnya sampai mati. Perbuatan begini umpama mempermainkan Allah SWT sahaja. Mempermainkan Allah SWT merupakan dosa yang sangat besar. Kalau nak bertaubat, bertaubatlah dengan bersungguh-sungguh.


2)Menyesal di atas perbuatan yang jadi berdosa itu
Syarat yang berikutnya ialah menyesal di atas dosa yang telah dilakukan. Merasa sangat bersalah dengan Allah SWT di atas perbuatan maksiat itu. Tapi malangnya ramai di kalangan masyarakat hari ini, bila buat maksiat tiada sikit pun rasa kesal di atas kemungkaran itu bahkan berbangga pula. Maka amat malang bagi orang-oarang yang buat dosa dan berbangga dengan dosa yang dilakukan itu.


3)Bercita-cita tidak akan kembali melakukan perbuatannya itu
Setelah bertaubat, maka perkara yang penting yang perlu ada dalam diri manusia ialah menanam keazaman untuk tidak mengulangi perbuatan mungkar itu lagi. Dalam masa yang sama, perlu berusaha bersungguh-sungguh mengelakkan diri daripada menjebakkan semula ke kancah dosa tersebut. Misalnya seseorang yang bertaubat untuk tidak meminum arak. Bila dah bertaubat tak nak minum arak, sepatutnya memelihara diri daripada mengunjungi tempat yang menyediakan arak umpamanya kelab malam dan sebagainya. Barulah taubat tersebut menepati syarat-syaratnya.


4)Mengembalikan hak-hak makhluk yang dizholimi
Jika sekiranya dosa tersebut dilakukan melibatkan manusia, maka ianya perlu diselesaikan dengan manusia itu. Contohnya, jika seseorang mengambil sesuatu yang menjadi miik orang lain(mencuri), maka menjadi kewajipan kepadanya untuk mengembalikan barang yang dicurinya itu kepada pemiliknya. Jika tidak, taubat tidak akan diterima Allah SWT.


5)Mengerjakan fardhu-fardhu yang telah luput
Syarat lain yang terdapat dalam kitab ini ialah mengerjakan semula amalan fardhu yang ditinggalkan, baik puasa, solat, zakat dan sebagainya.