10.6.10

Kebaikan Dunia dan Akhirat.

Sabda Rasulullah s.a.w. yang bermaksud :
“Ada empat perkara yang apabila diberikan kepada sesaorang sesungguhnya ia telah memperolehi kebaikan dunia dan akhirat.Iaitu :
1.Hati yang sentiasa bersyukur
2.Lisan yang sentiasa berzikir
3.Tubuh yang sentiasa sabar dalam menanggung musibah, dan
4.Isteri yang tidak pernah khianat sama ada terhadap dirinya atau terhadap harta benda (suami)nya.”

Sesungguhnya setiap insan dalam menghadapi gelombang kehidupan pasti menjadikan do'a sebagai senjata paling ampuh. Apatah lagi kehidupan seorang Muslim. Malah salah satu permohonan yang tidak pernah diabaikan adalah permintaan memperolehi kebaikan di dunia dan akhirat. Permohonan untuk mendapat kebahagiaan di dunia dan terlepas dari bahang api Neraka. Do'a ini dirakamkan di dalam al-Quran.

Firman Allah s.w.t. yang bermaksud :
“Dan di antara mereka ada yang berdoa ; ‘Ya Tuhan kami kurniakanlah kami kebaikan di dunia dan kebaikan di akhirat dan peliharalah kami dari seksa api Neraka.”
(Surah al-Baqarah ayat 201)

Merasai dan menikmati kebaikan yang dimaksudkan bukanlah hanya dengan kenikmatan yang bersifat dunia. Seperti dengan melimpahnya harta , kedudukan yang tinggi, isteri yang cantik, anak-anak yang ternama atau yang seumpamanya. Terdapat kebaikan yang lebih bererti dan bermakna sehingga sesaorang benar-benar menikmati kebaikan dunia dan akhirat. Inilah yang diungkapkan oleh baginda Rasulullah s.a.w. dalam hadisnya di atas. Jelas dari hadis di atas apabila seseorang ingin mencapai kebaikan di dunia dan akhirat maka ada empat perkara yang mesti dimiliki dan dipertahankannya.

Pertama : Bersyukur .
Bersyukur kepada Allah bukan sekadar mengungkapkan kalimah hamdalah (alhamdulillah) dan terima kasih kepada Allah s.w.t. Ia tidak memadai dengan ucapan lisan tetapi mesti dibuktikan dengan amalan dalam bentuk pengabdian kepada- Nya. Bersyukur bukan hanya mengadakan kenduri kesyukuran sebagai tanda terima kasih kepada Allah.

Sesungguhnya syukur itu adalah menumbuhkan rasa syukur di dalam hati. Kemudian apabila hati telah merasakan rasa syukur, maka tingkahlaku yang kita perlihatkan merupakan lambang atau jelmaan dari rasa syukur. Sehingga segala tingkah laku kita tidak ada penyimpangan dan penyelewengan dari jalan Allah. Segalanya menunjukkan ketaatan dan kepatuhan kepada-Nya. Sesungguhnya tingkah laku manusia adalah refleksi dari apa yang ada di dalam hatinya.

Rasulullah s.a.w. bersabda yang bermaksud :
“Ketahuilah, sesungguhnya di dalam diri terdapat segumpal darah, bila baik segumpal darah ini, maka baiklah seluruh tubuhnya. Dan jika buruk, maka buruklah seluruh tubuhnya. Ketahuilah segumpal darah itu adalah hati.”
(Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim)

Oleh itu apabila kita bersyukur dengan apa yang dimiliki, maka segala pemberian Allah pasti terasa nikmat. Dan Allah akan terus menambah rasa nikmat itu. Namun jika kita tidak pandai bersyukur, maka Allah mengingatkan bahawa azab-Nya sangat pedih.

Firman Allah s.w.t.yang bermaksud :
“Dan ingatlah tatkala Tuhanmu memaklumkan: 'Sesungguhnya jika kamu bersyukur, pasti Kami akan menambahkan (nikmat) kepadamu dan jika kamu mengingkari (nikmat-Ku), maka sesungguhnya azab-Ku sangat pedih.”
(Surah Ibrahim ayat 7).

Kedua : Berzikir
Setiap Muslim amat dianjurkan untuk berzikir dengan lisan setiap hari.Apabila lisan telah biasa dengan zikir, insya Allah segala kata-kata yang lahir adalah perkataan yang baik (kalimah tayyibah). Seutama-utama zikir dengan lisan adalah mengucapkan kalimah Laailaahaillallah. Menyebut nama Allah memang mesti sentiasa kita lakukan baik ketika hendak melakukan sesuatu yang baik maupun sesudahnya.Rasulullah sendiri sentiasa berzikir kepada Allah dalam berbagai situasi dan keadaan. Perintah untuk sentiasa berzikir begitu banyak dirakamkan dalam al-Quran.

Firman Allah s.w.t.yang bermaksud :
“Wahai orang-orang beriman, berzikirlah kepada Allah dengan zikir yang sebanyak-banyaknya dan bertasbihlah kepada Allah pada waktu pagi dan petang.”
(Surah al-Ahzab ayat 41-42)

Apabila di dunia kita sentiasa membasahi lidah denga zikir kepada Allah, nescaya kebaikan dunia akan kita raih dan secara tidak langsung akan kita raih juga kebaikankan ukhrawi.

Amalkanlah zikir al-Mathurat (himpunan zikir dan wirid) pada waktu pagi dan petang kerana zikir dan wirid ini adalah amalan yang di buat oleh Rasulullah s.a.w. Amalkanlah insya Allah ianya merapatkan hubungan hati kita dengan Allah s.w.t.


Ketiga : Bersabar.
Ujian dan cubaan bagi manusia yang hidup tentu akan datang silih berganti. Kadangkala ujian itu dalam bentuk perkara duniawi yang menyenangkan seperti harta yang banyak, kedudukan yang tinggi, wajah yang cantik atau tampan, ilmu yang luas dan sebagainya. Namun tidak sedikit ujian itu dalam bentuk yang tidak menyenangkan secara duniawi sehingga perkara ini disebut sebagai musibah, seperti penyakit, kemiskinan ,kedudukan yang rendah, kurang pandai dan sebagainya.Terlepas dari menyenangkan atau tidak ,seorang Muslim mesti tabah dan istiqamah dalam menghadapi berbagai bentuk ujian dari Allah s.w.t.

Firman Allah s.w.t. yang bermaksud :
“Dan sungguh akan Kami berikan kepadamu dengan sedikit ketakutan, kelaparan, kekurangan harta, jiwa dan buah-buahan. Dan berikan berita gembira kepada orang-orang yang sabar iaitu orang yang apabila ditimpa musibah mengucapkan. ‘Sesungguhnya kami adalah milik Allah dan kepada-Nyalah kami kembali.’ Mereka itulah yang mendapat keberkatan yang sempurna dan rahmat dari Tuhannya dan mereka itulah orang-orang yang mendapat petunjuk.”
(Surah al-Baqarah ayat 155-157)

Orang yang sabar dan istiqamah dalam menghadapi berbagai ujian Allah merupakan orang yang akan mendapat kebahagiaan dalam hidupnya kerana dalam keadaan yang demikian dia tidak tergelincir kejalan yang salah sehingga kebaikan di dunia dan akhirat diraihnya. Dengan sabar, seseorang akan sentiasa sedia menghadapi segala kemungkinan dalam hidupnya sehingga ia tak akan lupa diri dalam kejayaan dan keberhasilan serta tidak putus asa dalam kesengsaraan dan kesulitan.

Keempat : Isteri yang solehah.
Memilih isteri yang solehah merupakan suatu kewajipan bagi seorang Muslim. Bersama isteri yang solehah bermakna terbina rumahtangga yang bahagia dan akan menghasilkan generasi yang soleh. Isteri yang solehah bukanlah diukur dengan kecantikan, kekayaan ,status sosial dan seumpamanya.Lebih penting lagi adalah iman dan aqidah yang mantap, akhlak yang mulia dan sentiasa berfikir serta bertindak ke arah masa depan yang lebih baik sebagaimana yang di kehendaki dalam Islam.Antara kelebihan memilih isteri solehah adalah ia membantu suaminya dalam kepentingan akhirat .

Dari Abdullah bin ‘Amr bin ‘Ash . Sesungguhnya Rasulullah s.a.w. telah bersabda yang bermaksud : “Dunia ini adalah perhiasan dan sebaik-baik perhiasan adalah isteri solehah yang membantu kepentingan akhirat suaminya.”
(Hadis Riwayat Ruzain)

Seorang isteri solehah juga akan mentaati kepimpinan suaminya, Nabi s.a.w bersabda yang bermaksud :
“Seorang perempuan yang beriman kepada Allah tidak halal mengizinkan orang yang dibenci suaminya memasuki ke rumahnya, tidak boleh keluar jika suaminya tidak menyukainya, tidak boleh mentaati seorang pun di rumah suaminya (kecuali suaminya), tidak boleh meninggalkan tempat tidurnya dan tidak boleh memukul suaminya. Jika suaminya berlaku zalim kepadanya, hendaklah ia tetap di sisi suaminya sehingga ia dapat menjadikan suaminya senang. Jika suaminya mahu menerimanya hal itu sangat menguntungkan dirinya dan Allah pun akan menerima alasannya, memenangkannya dan dia tidak berdosa sedikit pun. Sekiranya suaminya tetap tidak meredhainya, sesungguhnya alasannya di sisi Allah tetaplah kuat.”
(Hadis Riwayat Hakim)

Oleh itu amatlah penting memilih isteri yang solehah, maka seorang pemuda yang akan menamatkan zaman bujangnya mestilah memilih wanita yang demikian sebagai calun isteri. Sementara wanita yang telah menjadi isteri mesti terus membina kesolehannya.Seterusnya apabila ibu bapa yang memiliki anak yang solehah, apabila ada pemuda yang juga soleh datang melamar, maka tiada alasan bagi ibu bapa untuk menolak lamarannya. Apatah lagi bila kedua insan yang soleh bersepakat untuk mewujudkan rumah tangga Islam.

Kesimpulannya:
Dari huraian di atas jelas bahawa kehidupan yang hasanah (baik) di dunia tidak hanya di ukur semata-mata dengan melimpahnya kebendaan dan perkara-perkara yang bersifat kesenangan dunia. Namun kehidupan yang hasanah bagi seorang Muslim adalah bila dia mampu menjalankan kehidupan sesuai dengan nilai-nilai Islam sehingga amal solehnya lebih banyak berbanding amal-amal yang tidak baik.

Dengan mengerjakan amal soleh seorang Muslim mesti secepat mungkin melaksanakannya. Jangan sekali-kali dia menunda-nunda melakukan amal soleh hanya kerana kemalasannya. Disamping itu dalam beramal soleh seorang Muslim juga tidak boleh merasa sudah banyak pahala yang di perolehi malah sebaliknya, iaitu merasa masih terlalu sedikit amalannya. Kita mesti rakus dan sentiasa merasa kurang senang dalam beramal soleh. Ini kerana apabila kita merasakan telah banyak amalan kebaikan maka keghairahan untuk memperbanyakkan amal soleh akan hilang dari diri kita.

Firman Allah s.w.t. yang bermaksud :
“Barangsiapa mengharap perjumpaan dengan Tuhannya, maka hendaklah ia mengerjakan amal soleh dan janganlah ia mempersekutukan seorang pun dalam beribadah kepada Tuhannya.”
(Surah al-Kahfi ayat 110)

Sahabat yang dikasihi kerana Allah,
Telalu banyak nikmat daripada Allah s.w.t. yang telah kita terima. Nikmat iman, nikmat Islam, nikmat kesihatan dan nikamt kehidupan. Sekiranya kita beribadah selama seribu tahun sekali pun namun kita tidak akan dapat membalas segala nikmat dan kebaikan yang kita perolehi daripada Allah s.w.t.

Tanda kesyukuran kita kepada Allah s.w.t. kita diminta hanya untuk mengabdikan diri sepenuhnya kepada-Nya iaitu dengan melaksanakan suruhan-Nya dan menjauhi larangan-Nya.

Salah satu sifat yang mulia yang perlu ada pada orang yang beriman adalah sifat pemurah dan ada perasaan belas kasihan dan suka membantu kepada golongan fakir-miskin dan anak-anak yatim. Hidup ini akan lebih harmoni hanya apabila kita banyak memberi bukan menerima.

Sahabat yang dirahmati Allah,
Manusia memikul peranan sebagai khalifah di muka bumi. Tugas khalifah itu adalah untuk memberi kebaikan untuk diri sendiri, untuk orang lain dan persekitarannya. Dengan itu makmurlah muka bumi ini dengan pembangunan material, keamanan dan keampunan Tuhan.

Tetapi reality masyrakat kita hari ini ramai yang mementingkan diri sendiri tanpa menghiraukan kesusuhan orang lain. Mereka merebut-rebut peluang yang ada dengan menggunakan apa cara sekali pun asalkan berhasil walaupun terpaksa merampas hak orang lain, rasuah dan mengunakan cara yang bertentangan dengan hukum syarak. Kenapakah mereka terpaksa memburu kekayaan dan berebut-rebut tanpa menghiraukan batas-batas akhlak Islam? Ini adalah kerana dalam jiwa mereka telah tertanam cinta dunia untuk mencari kemegahan dan kemewahan hidup demi memenuhi kehendak nafsu amarah yang tidak puas-puas!

Sahabat yang dimuliakan,
Islam mewajibkan zakat adalah semata-mata untuk membersihkan harta yang dimiliki, supaya terhindar perasaan tamak haluba dan mementingkan diri sendiri. Zakat dapat menaikkan ekonomi umat Islam dan dapat membantu merapatkan jurang diantara orang miskin dan kaya sekali gus membaiki hubungan sosial dalam masyarakat Islam.

Selain zakat Islam menggalakkan umatnya yang berkemampuan untuk memberikan sedekah jariah dan memberi bantuan secara suka rela tanpa mengharapkan balasan duniawi, melainkan mengharapkan keredhaan Allah s.w.t. semata-mata.

Dalam hadis Nabi s.a.w. ada menjelaskan bahawa sedekah jariah yang diberikan dengan ikhlas semata-mata kerana Allah adalah salah satu saham akhirat yang akan mengalir terus pahalanya walaupun ia telah kembali menemui Allah s.w.t di alam Barzakh.

Sabda Rasulullah s.a.w. yang bermaksud :
“Sungguh sedekah itu akan memadamkan kemarahan Tuhan dan menghindarkan dari kematian yang buruk (Su’ul Khatimah).”

Kekayaan sebenar bukanlah kerana banyak ‘memiliki’ tetapi kerana banyak ‘memberi’. Justeru, Allah itulah Zat yang Maha Kaya, kerana Dia-lah yang banyak memberi. Jika kita banyak memberi akan meningkatkan kualiti jiwa. Jika kita banyak menerima kita akan hanya meningkatkan kuantiti harta. Kualiti jiwa itu matlamat, kuantiti harta itu cuma alat. Jangan tertukar antara alat dan matlamat.

Sahabat,
Senyum itu adalah sedekah. Intailah hari-hari yang berlalu dalam kehidupan seharian. Pada hari yang ceria dan gembira, itulah hari yang kita lebih banyak memberi berbanding menerima. Untuk merasa gembira, gembirakanlah orang lain. Sebab itu senyum ada dua.

Pertama, senyum kerana gembira. Kedua senyum untuk mengembirakan. Senyum pertama kerana mendapat kegembiraan. Manakala senyuman yang kedua kerana hendak memberikan kegembiraan.

Senyum untuk mengembirakan itulah yang lebih tinggi nilainya seperti yang disebut dalam hadis, sabda Nabi s.a.w. yang bermaksud, “Senyumanmu di hadapan saudaramu adalah satu sedekah.” (Hadis Riwayat Tarmizi).

Orang yang sentiasa berfikir untuk menggembirakan orang lain insya Allah akan sentiasa dibukakan pintu kegembiraan buatnya oleh Allah s.w.t.

Akhirkata, berikanlah apa yang Allah berikan kepada kita kerana disana ada hak orang lain yang diamanahkan kepada kita. Jangan jadi seperti Qarun yang menganggap kekayaan diri kerana kepandaiannya. Memang benar kita yang memerah keringat, kita yang berusaha dan berfikir. Tetapi… kita perlu ingat siapa yang mencipat otak, tangan, kaki, mata, telinga, memberi tenaga, kesihatan, siapa yang menciptanya? Semua ini bukan milik kita,segala-galanya pemberian Allah. Kita bukan pemilik, kita hanya peminjam.

Sebagai khalifah, kita memikul amanah untuk memberi kebaikan dengan segala kebaikan yang kita terima. Dari itu teruskanlah memberi, insya Allah ganjaran besar akan diberikan Allah s.w.t. dihari Akhirat nanti.

Sahabat yang dirahmati Allah,
Daripada Abu Hurairah r.a , Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud :
"Perbanyakkanlah olehmu mengingati sesuatu yang memutuskan segala kelazatan (mati)."
(Hadis Riwayat Tirmizi)

Sedarkah kita semua, bahawa masa berlalu terlalu pantas dan umur kita semakin meningkat, kita masih lalai sehingga kita lupa bahawa sedetik masa berjalan kematian sedang menggamit kita dan kita semakin hampir dengannya. Seperti mana kita ketahui bahawa kematian adalah sesuatu yang pasti berlaku. Satu hakikat atau kenyataan yang di lalui oleh setiap manusia yang hidup di muka bumi ini. Manusia adalah Khalifah Allah di dunia ini. Oleh itu mereka akan di pertanggungjawabkan dengan amanah Allah s.w.t. untuk menegakkan Syariat Islam dan memakmurkan alam ciptaan Ilahi dengan mentaati segala suruhanNya dan menjauhi segala laranganNya.

Sahabat yang dimuliakan,
Kita sering mendengar berita tentang kematian , tetapi sejauh mana kita mengambil iktibar di atas peristiwa yang berlaku keatas keluarga kita , sahabat handai ,jiran tetangga dan masyarakat setempat.
Renunglanlah buat keinsafan kita bahawa kematian berlaku di mana-mana sahaja , dan berlaku dalam berbagai bentuk . Ada kematian di sebabkan kemalangan jalan raya , sakit tua ,sakit jantung , lemas di laut dan berbagai-bagai lagi jenis kematian yang dapat di saksikan. Hanya Allah s.w.t. sahaja mengetahui nasib sesaorang di akhir hayatnya.

Oleh itu sebagai orang yang beriman kepada Allah s.w.t, hendaklah sentiasa berdo'a agar kita mati dalam keadaan husnul khatimah (penutupan akhir hayat yang baik). Bukan dalam keadaan su'ul khatimah (penutup akhir hayat yang tidak baik), na'uzubillahiminzalik!

Semua manusia tidak tahu bilakah dia akan di panggil pulang untuk bertemu dengan Allah s.w.t. Dengan erti kata lain, sesiapa pun tidak tahu bilakah nyawanya akan di cabut oleh Malaikat Maut , di tempat manakah badannya akan terkejur sejuk kedinginan dan tidak bergerak lagi,ketika itu roh akan naik kelangit dan kita pun tidak mengetahui samaada roh kita akan di terima untuk berhimpun bersama arwah para Anbiya , Syuhada' dan ulama' atau adakah roh kita akan di tolak lalu di campakkan ke jurang api Neraka.

Justru itu marilah sama-sama insafi diri kita bahawa saat kematian sesuatu hakikat yang pasti akan terjadi ,ianya tidak boleh di tangguhkan atau di percepatkan, walaupun satu saat apabila ajal sudah tiba , janji Allah s.w.t pasti akan di tunaikan.

Firman Allah s.w.t. yang bermaksud : "Katakanlah (wahai Muhammad): Sebenarnya maut yang kamu melarikan diri daripadanya itu, tetaplah ia akan menemui kamu; kemudian kamu akan dikembalikan kepada Allah Yang Mengetahui segala yang ghaib dan yang nyata, lalu Dia memberitahu kepada kamu apa yang kamu telah lakukan (serta membalasnya). (Surah Al-Jumaah ayat 8 )

Berlaku suatu peristiwa di zaman Nabi Sulaiman a.s ,apabila baginda mengadakan jamuan untuk rakyat jelata ,terdapat seorang tetamu yang tidak di kenali memerhatikan seorang rakyat Nabi Sulaiman a.s dengan pandangan yang menakutkan, lantas lelaki tersebut bertanya kepada baginda siapakah orang tersebut, lalu baginda menyatakan orang tersebut adalah Malaikat Maut. Lalu lelaki tersebut meminta Nabi Sulaiman a.s membawanya jauh ke negeri India dengan bantuan angin. Baginda bersetuju memenuhi permintaan lelaki tersebut dan dia pun di hantar ke India.

Sampai sahaja di India Malaikat Maut sudah menunggu dia di sana dan lelaki tersebut pun di cabut nyawanya dan mati di situ juga. Apabila baginda berjumpa Malaikat Maut baginda bertanya kepadanya kenapakah dia memandang cara menakutkan pada lelaki tersebut , Malaikat Maut berkata dia merasa hairan , sepatutnya dia mencabut nyawa lelaki tersebut di negeri India dalam masa terdekat tetapi orang yang akan di cabut nyawa itu masih berada di Palestin. Semua peristiwa yang berlaku ini adalah telah di tentukan oleh Allah s.w.t. sejak azali lagi, manusia hanya boleh merancang tetapi keputusan terakhir adalah dari Allah s.w.t semata-mata.

Sahabat yang dihormati,
Nabi s.a.w ada bersabda yang bermaksud :
"Sesungguhnya hati manusia itu akan berkarat seperti mana karatnya besi."
Para sahabat bertanya kepada Rasulullah s.a.w , "Bagaimana hendak mengubatinya ,Ya Rasulullah ?"
Maka Rasulullah s.a.w menjawab, "Tilawah al-Quraan dan mengingati mati."

Mengingati mati adalah pencuci hati yang sangat berkesan. Dari sanalah kita akan memasuki pintu keinsafan dan kesedaran. Marilah sama-sama kita mengambil peluang yang di sediakan ini sebagai seorang individu Muslim Mukmin yang mengaku beriman kepada Allah s.w.t dan mencintai Rasulullah s.a.w.

Kita akan berfikir dan membuat pertimbangan terhadap sesuatu perkara yang mahu di lakukan bukan hanya untuk masa yang terdekat , tetapi kita akan berfikir dan membuat pertimbangan yang sewajarnya yang menjangkau wawasan akhirat yang lebih jauh dari itu. Kita berfikir bagaimana nasib yang akan di lalui di alam kubur nanti, di Padang Mahsyar , ketika di hisab dan ketika di hadapan kepada Mahkamah Tuhan Rabbun Jalil.

Marilah kita sama-sama membuat persediaan yang sempurna serta perancangan yang teratur untuk kita dapat selamat daripada api Neraka dan mendapat keberuntungan yang sangat besar dengan memasuki Syurga yang penuh dengan segala kenikmatan dan kelazatan yang tidak terhingga.

Sahabat yang dimuliakan,
Di dalam al-Qur'an terdapat satu surah yang bernama Surah Luqman. Surah ini memaparkan satu kisah mengenai Luqman al-Hakim yang dikurniakan hikmah kebijaksanaan dan rahsia mengenal Allah s.w.t., membanteras syrik, mendorong supaya berakhlak mulia dan menjauhi daripada akhlak tercela yang merupakan tujuan utama mengapa al- Qur'an diturunkan.

Dalam Surah Luqman didapati lapan ayat berturut-turut secara khusus memperkatakan kisah Luqman, dimana tajuk ayat tersebut merupakan isi pengajaran Luqman kepada anaknya. Dari ayat-ayat tersebut dapat diklasifikasi kepada tiga asas utama iaitu Asas Aqidah, Asas Ibadah dan Asas Akhlak.

Sahabat yang dirahmati Allah,
Untuk mencapai kejayaan di dalam mempelajari pendidikan Islam berdasarkan sistem pendidikan Luqman, ketiga-tiga asaas tersebut perlulah difahami dan dihayat untuk diri kita dan untuk mendidik anak-anak kita. Ketiga-tiga asas pendidikan tersebut adalah seperti berikut :

Pertama : Asas Aqidah,
Persoalan aqidah merupakan isu terpenting dalam kehidupan Muslim . Ini disebabkan aqidah menurut Islam adalah asas bagi binaan Islam pada keseluruhannya. Daripada aspek yang lain ia juga dapat disifatkan sebagai benteng yang paling teguh bagi menjaga dan mengawasi segala bentuk penyelewengan ikhtikad dan keyakinan.

Dewasa ini didapati beberapa bentuk penyelewengan berlaku sama ada dari segi pemikiran, percakapan lebih-lebih lagi tingkah laku yang semuanya berpunca daripada ketidakfahaman mereka terhadap asas aqidah Islam secara mendalam, sedangkan kefahaman tentang aqidah itu merupakan satu tuntutan untuk melahirkan keyakinan dan penghayatan Islam secara menyeluruh.

Asas aqidah yang ditekankan di sini adalah mentauhidkan Allah s.w.t. Firman Allah s.w.t. yang bermaksud : "Wahai anak kesayanganku! Janganlah engkau mempersekutukan Allah (dengan satu yang lain),sesungguhnya perbuatan syirik itu adalah satu kezaliman yang besar."
(Surah Luqman ayat 13)

Dalam ayat di atas jelas menunjukkan bahawa Luqman memulai nasihat kepada anaknya supaya menjauhkan diri daripada syirik kepada Allah, kerana jiwa yang suci harus bersih daripada sebarang kerosakan dan kesesatan. Di antara punca kerosakan aqidah adalah syirik. Oleh itu ia hendaklah dijaga daripada syirik agar aqidah sentiasa berada dalam keadaan baik. Kerana kesucian dan kemurniaan aqidah itulah punca segala amalan yang baik.

Syirik adalah sebesar-besar dosa yang dilakukan oleh seseorang kepada Allah s.w.t. Firman Allah s.w.t. yang bermaksud : "Sesungguhnya Allah tidak akan mengampunkan dosa (syirik) mempersekutukan-Nya (dengan sesuatu apa jua) dan akan mengampunkan dosa yang lain daripada itu bagi sesiapa yang dikehendaki-Nya. Dan sesiapa yang mempersekutukan Allah maka sesungguhnya ia telah melakukan dosa yang besar." (Surah An- Nisaa' ayat 48)

Sesungguhnya Rasulullah s.a.w pernah ditanya, yang manakah dosa yang paling besar? Baginda menjawab : "Bahawa engkau jadikan bagi Allah penyerupaan, saingan atau persamaan sedangkan Dia menjadikan engkau."

Kedua : Asas Ibadah,
Konsep ibadah dalam Islam bukan hanya terbatas kepada soal-soal ta'abbudi yang dikenali seperti solat, puasa, zakat, haji dan sebagainya. Malah ibadah mempunyai erti yang sangat luas dan mendalam. Ibadah merupakan pengabdian sepenuhnya dan berfungsi menjalinkan hubungan yang berterusan antara hamba dengan Allah. Hubungan ini sebenarnya yang menjadi asas utama pendidikan Islam pada keseluruhannya.

Ibadah dalam Islam merangkumi keseluruhan kehidupan manusia iaitu hubungan manusia dengan Allah s.w.t, hubungan manusia sesama manusia dan hubungan manusia dengan alam dan makhluk Allah yang lain. Setiap perkara yang kita lakukan dan tinggalkan semata-mata kerana Allah dan mencari keredhaan-Nya akan dikira sebagai beribadah kepada Allah s.w.t.

Solat adalah saluran utama hubungan manusia dengan Allah s.w.t. Ia merupakan pancaran yang menghidupkan dan menyuburkan keimanan dalam hati, kerana dengan bersolat seorang akan mengingati Allah melalui segala bacaan yang dibaca sepanjang solat. Dalam solat seseorang akan mengingati hari akhirat, ingat kepada Rasul, Malaikat, seterusnya kepada kitab yang diturunkan kepada Rasul iaitu al-Qur'an. Solat juga dapat mencegah seseorang daripada mengerjakan perbuatan keji dan mungkar. Dengan ini jelaslah kepada kita bahawa solat adalah manisfetasi daripada keimanan kepada perkara-perkara ghaib.

Daripada aspek kejiwaan, solat mendidik seseorang agar mencapai ketenangan jiwa, memberi kekuatan dalaman kepada seseorang untuk menempuh penderitaan hidup di dunia ini. Daripada aspek kesihatan, solat mendidik seseorang supaya menjaga kebersihan, melatih badan supaya cergas dan aktif. Daripada aspek akhlak, solat dapat menyedarkan seseorang terhadap kesalahannya, dapat menghapuskan dosa, dapat mencegah seseorang daripada kemungkaran dan mendidik seseorang supaya berdisplin dengan waktu.

Dan yang terakhir daripada aspek kemasyarakatan, solat melahirkan individu yang memiliki kemerdekaan jiwa, kemerdekaan dalam memberi teguran dan pandangan, memupuk persaudaraan dan melahirkan persamaan tanpa mengira pangkat kedudukan, harta kekayaan, mulia dan hina, tua dan muda. Semuanya sama dihadapan Allah.

Ketiga : Asas Akhlak.
Misi Islam sebenarnya ialah pengarahan manusia supaya mencapai nilai-nilai kemanusiaan yang luhur, yang sesuai dengan kemuliaan manusia. Islam sangat mementingkan budi pekerti untuk mewujudkan unsur-unsur kekuatan dan peribadi yang baik, yang akan dapat mempertingkatkan taraf kehidupan di dunia serta keredhaan Allah di sebalik kehidupan sekarang ini. Dalam pendidikan Luqman asas ini ditekankan kepada beberapa perkara pokok iaitu :

1.Berbakti kepada kedua ibu bapa :
Firman Allah s.w.t yang bermaksud, "Dan Kami wajibkan berbuat kebaikan kepada kedua ibu bapanya, ibunya mengandung dengan menanggung kelemahan demi kelemahan dan tempoh menceraikan susunya ialah dalam masa dua tahun, bersyukurlah kepada-Ku dan kepada kedua ibu bapamu, (ingatlah) kepada Akulah jua tempat kembali (untuk menerima balasan) "(Surah Luqman ayat 14)

2.Bersifat sabar :
Firaman Allah s.w.t yang bermaksud : "Dan bersabarlah atas segala bala bencana yang menimpamu, sesungguhnya yang demikian itu adalah perkara-perkara yang sangat-sangat di ambil berat untuk melakukannya." (Surah Luqman ayat 17)

3.Tidak takbur dan sombong :
Firman Allah s.w.t yang bermaksud : "Dan janganlah engkau memalingkan mukamu (kerana memandang rendah) kepada manusia dan janganlah engkau berjalan di bumi dengan berlagak sombong, Sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang-orang sombong, takbur lagi membanggakan diri." (Surah Luqman ayat 18)

Takbur ialah sikap jiwa yang merasakan dirinya lebih baik daripada orang lain, samaada orang itu manusia atau jin. Sikap takbur inilah menyebabkan Iblis telah dilaknat oleh Allah s.w.t. dan akan dihumbankan kedalan api Neraka.

4.Kesederhanaan dalam semua perkara :
Kesederhanaan ini berlaku kepada keseluruhan sistem termasuk urusan ibadah. Seseorang Islam tidak digalakkan beribadah sehingga menyeksa diri sendiri kerana setiap diri itu ada hak yang mesti diberikan, seperti mana sabda Rasulullah s.a.w yang bermaksud : "Sesungguh bagi tubuh badan ada haknya yang mesti kamu berikan kepadanya."

Begitu juga dalam urusan membelanjakan harta, Islam tidak menggalakkan umatnya supaya berbelanja secara berlebih-lebihan dan boros atau menyayangi harta hingga engan bersedekah dan infak di jalan Allah.

Dalam konteks pendidikan Luqman didapati dua aspek ditekankan iaitu:
Pertama : Sederhana sewaktu berjalan, firman Allah s.w.t yang bermaksud : "Dan sederhanakanlah langkahmu sewaktu berjalan." (Surah Luqman ayat 19).

Kedua : Sederhana waktu bercakap., firman Allah s.w.t yang bermaksud : "Lunakkanlah suaramu, sesungguhnya seburuk-buruk suara itu suara keldai." (Surah Luqman ayat 19).

Sahabat yang dirahmati Allah,
Apabila dilihat daripada aspek pengajaran, didapati bahawa Luqman al-Hakim mempunyai pendekatan tertentu tentang pendidikan anaknya. Dan darisegi metodnya pendidikan Luqman mempunyai dua sifat utama iaitu pertama, pendidikan yang bersifat melengkapi dan menyeluruh dan keduanya, pendidikan yang bersifat pemeringkatan dan menurut susunannya tersendiri.

Oleh itu sebagai individu Muslim Mukmin mempunyai tanggung jawab mendidik anak-anak dan juga generasi umat Islam hari ini maka ambillah contoh dan cara-cara yang dilaksanakan oleh Luqman yang diceritakan kisah beliau dalam al-Qur'an.

Dari Abu Hurairah r.a bahawa Nabi s.a.w. bersabda yang bermaksud :
“Tahukah kamu siapakah dia Orang Muflis?”

Sahabat-sahabat baginda menjawab :
“Orang Muflis di antara kami, ya Rasulullah ialah orang yang tidak ada wang ringgit dan tidak ada harta benda.”

Nabi s.a.w. bersabda yang bermaksud :
“Sebenarnya Orang Muflis dari kalangan umatku ialah orang yang datang pada hari qiamat membawa sembahyang, puasa dan zakat , sedang datangnya itu dengan kesalahan memaki hamun orang ini, dan menuduh orang itu , memakan harta orang orang ini ,menumpah darah orang itu dan juga memukul orang . Maka akan di ambil dari amal kebajikannya serta di beri kepada orang ini dan orang itu , kemudian kiranya habis amal kebajikannya sebelum habis di bayar kesalahan-kesalahan yang di tanggungnya , akan di ambil pula dari kesalahan-kesalahan orang yang di aniayakannya serta di timpakan keatasnya , kemudian ia di humbankan kedalam neraka.”

(Hadis Riwayat Muslim dan Turmizi)

Berdasarkan hadis di atas jelaslah kepada kita bahawa amal soleh yang di lakukan sesaorang belum tentu menjamin dia akan masuk Syurga , sekiranya di samping dia membuat amal soleh tersebut dia juga melakukan amal kejahatan yang membawa kepada dosa.

Apabila berlaku proses timbangan segala amalan-amalan manusia yang baik dan buruk , maka sekiranya habis amalan kebaikannya di bayar atas kesalahannya tadi maka ketika ini dia akan jadi Orang Muflis. Segala penyesalannya sudah tidak berguna lagi kerana dia akan di masukkan kedalam Neraka.

Oleh itu ingatlah, bahawa orang yang paling rugi di akhirat nanti adalah Orang Muflis kerana semasa di dunia tidak berhati-hati dalam tindakan dan amalannya, banyak di dorong oleh hawa nafsu dan pujukan syaitan. Pepatah melayu ada berkata : “Ikut hati mati, ikut rasa binasa dan ikut nafsu lesu .“

Anggota manusia yang paling bahaya adalah lidah dan tangan. Walaupun lidah itu lembut dan tidak bertulang tetapi apabila silap menggunakannya banyak mengumpat, memfitnah, berdusta, mungkir janji dan mengadu domba, maka tuan yang memiliki lidah ini akan menanggug azab di akhirat nanti dan ianya akan menanggung azab yang pedih iaitu di masukkan ke dalam api Neraka.

Hidup di zaman siber ini, cabarannya amat hebat. Bertugas sebagai pengarang media, wartawan, penulis blog, penulis bebas, pengulas dan pengacara radio dan tv dan ahli -ahli politik, kesemua mereka ini amat perlu berhati-hati di dalam memberi apa-apa pandangan dan ulasan mengenai peribadi sesaorang yang ingin di nyatakan. Apa sahaja isu yang ingin di ketengahkan pastikan ianya sahih dan bukan andaian sesaorang sahaja.

Salah satu di antara kebinasaan lidah yang jarang disedari ialah sikap suka mengumpat. Mengapakah dosa atau kesilapan ini jarang disedari? Ini adalah kerana perbuatan itu dilakukan pada setiap hari malah setiap waktu di mana-mana sahaja. Sedangkan, sebagaimana yang kita ketahui mengumpat adalah termasuk perbuatan dosa serta dilarang oleh Allah s.w.t. dan juga Rasulullah s.a.w.

Sebenarnya sikap suka mengumpat timbul daripada perasaan hasad dengki seseorang terhadap orang lain. Ini mungkin disebabkan orang lain itu mempunyai beberapa kelebihan yang tidak ada padanya. Atupun sikap ini timbul kerana merasakan dirinya lebih baik dari orang lain. Mungkin juga sikap ini timbul kerana ia melihat berbagai kekurangan terdapat pada orang lain. Samaada kekurangan itu di segi harta, ilmu, pengaruh dan sebagainya.

Sekiranya apa yang di katakan tidak betul dan berbentuk fitnah dan mengumpat, mereka akan di pertanggung jawabkan di hadapan Allah s.w.t, nanti di hari akhirat. Tangan yang menulis dan lidah yang berkata-kata ini akan menjadi saham untuk memotong amalan-amalan kebajikan pelaku-pelakunya untuk di berikan kepada mangsa-mangsa yang teraniaya di atas perbuatannya.

Bayangkanlah sekiranya berita palsu tersebut telah tersebar di dalam internet dan di baca atau di dengar oleh berjuta-juta manusia di dunia ini, macamana kita hendak tarik balik berita tersebut? Oleh itu berhati-hatilah sebelum membuat sesuatu tindakan supaya amalan kebajikan kita tidak menjadi sia-sia dan tidak dapat membantu kita di akhirat nanti kerana telah habis di bayar hutang untuk dosa-dosa kita.

Dari itu kita perlulah membuat persiapan di dunia ini dengan mengerjakan amalan-amalan soleh dengan hati yang ikhlas semata-mata kerana Allah s.w.t. dan tinggalkan segala perbuatan dosa dan menyakiti orang lain supata kita tidak menjadi Orang Muflis. Hanya melalui proses tarbiyyah imaniah yang berterusan sahaja akan dapat memandu kita di jalan yang lurus dan di redhai Allah s.w.t.




persinggahan