6.6.10

Persoalan Di mana kah Allah & Al Ikhlas.

Persoalan Dimanakah Allah s.w.t?
Perihal tentang perbincangan Sifat Allah s.w.t, maka ia tiada diperselisihkan seperti yang diturunkan dalam surah al-Ikhlas ayat 1-4 yang menceritakan keEsaan Allah s.w.t. iaitu ayat-ayat yang maksudnya berbunyi sebegini:

1. Katakanlah: "Dia-lah Allah, Yang Maha Esa.
2. Allah adalah Tuhan yang bergantung kepada-Nya segala sesuatu.
3. Dia tiada beranak dan tidak pula diperanakkan,
4. dan tidak ada seorangpun yang setara dengan Dia."

Dalam satu riwayat dikemukakan bahawa kaum musyrikin meminta penjelasan kepada Rasulullah s.w.t tentang sifat-sifat Allah dengan berkata: "Jelaskan kepada kami perihal Tuhanmu." maka turunlah 4 ayat tersebut bagi menjawab persoalan kaum musyrikin itu. (Diriwayatkan oleh Tirmidzi, al-Hakim dan ibn Khuzaimah dari Abi Aliyah yang bersumber dari Ubay bin Ka'ab. Diriwayatkan pula oleh at-Thabarani dan ibn Jarir yang bersumber dari Jabir bin Abdullah dan dijadikan dalil bahawa surah ini adalah surah Makkiyah yang diturunkan di Makkah)).

Dalam riwayat lain dikemukakan bahawa kaum Yahudi menghadap Nabi s.a.w dan diantaranya Ka'bubnul 'Asyraf dan Hay bin Akhtab. Mereka berkata: "Hai Muhammad, lukiskan sifat-sifat Tuhan yang mengutusmu." Maka turunlah surah al-Ikhlas berkenaan peristiwa ini. (Dirawayatkn oleh ibn Abi Hatim dari ibn 'Abbas. Diriwayatkan pula oleh ibn Jarir yang bersumber dari Qatadah dan ibn Mundzir yang bersumber dari Sa'id bin Jubair. Dengan riwayat ini Sa'id bin Jubair menegaskan ia adalah surah Madaniyyah.)

Dalam riwayat lain dikemukakan bahawa kaum Ahzab (Persekutuan antara Quraisy, Yahudi Madinah, Kaum Goththafan dari Thaif dan Munafiqin Madinah dan beberapa sekutu sekeliling Makkah) berkata: "Lukiskan sifat Tuhanmi kepada kami." Maka sampailah Jibril a.s menyampaikan surah al-Ikhlas yang melukiskan sifat-sifat Allah. (Diriwayatkan oleh Ibn Jarir dari Abi Aliyah bersumberkan dari Qatadah.)


Demikianlah sebab turunnya surah al-Ikhlas, untuk menceritakan pada orang-orang kafir tentang sifat Allah s.w.t. Kemudian datang pula perselisihan dikalangan umat Islam tentang persoalan dimanakah Allah s.w.t? InsyaAllah saya akan cuba sertakan dalil-dalil daripada al-Qur'an, Hadith dan juga beberapa kata-kata 'ulama' dengan seringkas yang mungkin bagi menjawab persoalan tersebut.

Dalil daripada al-Qur'an al-Karim:

Surah al-A’raaf : 54,

Sesungguhnya Tuhan kamu ialah Allah Yang menciptakan langit dan bumi Dalam enam masa lalu ia bersemayam di atas Arasy; ia melindungi malam Dengan siang Yang mengiringinya Dengan deras (silih berganti) dan (ia pula Yang menciptakan) matahari dan bulan serta bintang-bintang, (Semuanya) tunduk kepada perintahNya. ingatlah, kepada Allah jualah tertentu urusan menciptakan (sekalian makhluk) dan urusan pemerintahan. Maha suci Allah Yang mencipta dan mentadbirkan sekalian alam.

Surah Yunus : 3,

Sesungguhnya Tuhan kamu ialah Allah Yang menjadikan langit dan bumi Dalam enam masa kemudian ia bersemayam di atas Arasy mentadbirkan Segala urusan. tidak ada sesiapa pun Yang dapat memberi syafaat melainkan sesudah diizinkanNya. (yang bersifat demikian) itulah Allah, Tuhan (yang memelihara dan mentadbirkan keadaan) kamu; maka tunduklah dan Taatlah kamu kepada perintahNya; Patutkah kamu - setelah mengetahui kenyataan Yang tersebut tidak mahu mengingatiNya?

Surah ar-Ra’d : 2

Allah jualah Yang menjadikan langit terangkat tinggi Dengan tiada bertiang sebagaimana Yang kamu melihatnya, kemudian ia bersemayam di atas Arasy; dan ia memudahkan matahari dan bulan (untuk faedah makhluk-makhlukNya) tiap-tiap satu dari keduanya beredar untuk suatu masa Yang telah ditetapkan. Allah jualah Yang mentadbirkan Segala urusan; ia menerangkan tanda-tanda kekuasaannya satu-persatu, supaya kamu yakin kepada pertemuan Tuhan kamu (untuk menerima balasan).

Surah Thohaa : 5,

Iaitu (Allah) Ar-Rahman, Yang bersemayam di atas Arasy.

Surah al-Furqan : 59,

Tuhan Yang menciptakan langit dan bumi serta Segala Yang ada di antara keduanya, Dalam enam masa, kemudian ia bersemayam di atas Arasy, ialah Ar-Rahman (Tuhan Yang Maha Pemurah); maka Bertanyalah akan hal itu kepada Yang mengetahuinya.

Surah as-Sajdah : 4,

Allah Tuhan Yang menciptakan langit dan bumi serta Segala Yang ada di antara keduanya Dalam enam masa, kemudian ia bersemayam di atas Arasy; kamu tidak akan beroleh sebarang Penolong dan pemberi syafaat selain dari Allah; oleh itu tidakkah kamu mahu insaf dan mengambil iktibar (untuk mencapai keredaanNya)?

Surah al-Hadid : 4,

Dia lah Yang telah menciptakan langit dan bumi Dalam enam masa, kemudian ia bersemayam di atas Arasy; ia mengetahui apa Yang masuk ke bumi serta apa Yang keluar daripadanya; dan apa Yang diturunkan dari langit serta apa Yang naik padanya. dan ia tetap bersama-sama kamu di mana sahaja kamu berada, dan Allah Maha melihat akan apa Yang kamu kerjakan.

Demikian adalah tujuh ayat dari al-Qur’an yang menceritakan bahawa Allah istiwa di atas ‘Arasy-Nya. Istiwa disini bermaksud bersemayam (reside, sit of royalty) apabila diterjemahkan dalam bahasa Melayu (Rujuk al-Qur’an dan Terjemahnya, terjemahan dan tafsiran dibawah pimpinan Prof. R. H. A Soenarjo S. H.; dan Kamus al-Qur’an tulisan Syeikh Dr. Hasanain Muhammad Makhluf) namun adakah Allah s.w.t bersemayam seperti hamba-Nya?

Allah s.w.t berfirman dalam surah asy-Syuraa ayat ke-11:

Tiada sesuatupun Yang sebanding Dengan (ZatNya, sifat-sifatNya, dan pentadbiranNya) dan Dia lah Yang Maha Mendengar, lagi Maha Melihat.

Berdasarkan ayat tersebut (laisa kamithlihi sa un), kita biarkan saja ayat-ayat tersebut (berkenaan Istiwa) sebagaimana Allah s.w.t tetapkan dimana Dia berada tanpa tahrif (mengubah atau menukar ganti makna), tanpa ta’til (menafikan sifat bagi Allah s.w.t), tanpa takyif (menggambarkan rupa bentuk sifat) dan tanpa tamthil (mengumpamakan makna dengan sesuatu).(Rujuk Tafsir Ibn Kathir dalam tafsiran surah al-A’raf bab maksud Istawa tulisan Imam Abul Fida Ibn Kathir r.h)

‘Arasy pula diayat-ayat tersebut didalam bahasa ‘Arab dimaksudkan dengan singgahsana untuk raja namun yang dimaksudkan dalam ayat-ayat tersebut ‘Arasy dimaksudkan seperti yang Allah s.w.t berfirman dalam ayat ke-7 surah al-Mu’min:

(Malaikat-Malaikat) Yang memikul Arasy dan malaikat Yang berada di sekelilingnya..

Bagaimanapun ayat ke-4 dalam surah al-Hadid yang bermaksud: “..Dan Ia tetap bersama-sama kamu dimana saja kamu berada…” (wa hua ma’akum aina ma minku). Dikhabarkan kepada saya ditafsirkan ayat ini oleh ibn ‘Abbas yang bersama itu adalah ‘Ilmu walau saya masih belum dapat jumpa lagi sumbernya. Dan pada ayat ini Imam Abu Hanifah r.h pernah ditanya tentangnya, dan beliau menjawab: “Ia seperti kamu tulis surat kepada kekasihmu dan katakan “aku sentiasa bersamamu””.(Rujuk Aqidah Empat Imam Mazhab tulisan Dr. Muhammad bin Abdurrahman al-Khumais)

Dalil-dalil daripada Hadith Rasulullah s.a.w:

Hadith yang pertama:
Ketika Mu’awiyah Bin al-Hakam as-Sulamy ingin memerdekakan hambanya yang bernama Jariyyah, beliau membawanya kepada Rasulullah s.a.w.;
Rasulullah bertanya kepada hamba tersebut: “Di manakah Allah (aina Allah)?” Jawab hamba itu: “Allah di langit (fis samaa’).” Baginda Rasulullah bertanya lagi: “Siapakah aku?” Jawab hamba itu lagi: “Engkau adalah Rasulullah.” Dan kemudian baginda Rasulullah bersabda, “Merdekakanlah dia, kerana dia seorang mukminah (wanita yang sedia beriman). (Hadith Diriwayatkan oleh Jema’ah ahli Hadis, antaranya Imam Malik, Imam Muslim, Abu Daud, ad-Darimi, an-Nasai’e)


Inilah dalilnya, yang mana kita seharusnya menjawab bahawasanya Allah s.w.t itu berada dilangit jika ditanyakan dimana Allah s.w.t dan Rasulullah s.a.w katakan bahawa itu adalah iman kita berdasarkan hadith tersebut Rasulullah s.a.w mengakui kata-kata Jariyyah bahawa Allah s.w.t itu berada dilangit.

Hadith yang kedua:
Abu Hurairah r.a melaporkan, Nabi Muhammad s.a.w pernah berkata:
“Tuhan yang Maha Suci dan Maha Tinggi turun ke langit dunia pada setiap malam, ketika tinggal satu pertiga yang akhir dari malam. Allah berkata, “Sesiapa yang berdoa kepada Aku, Aku akan perkenankan baginya. Sesiapa yang minta dari Aku, Aku beri padanya. Sesiapa yang meminta ampun, Aku ampuninya. (Hadith Sahih yang diriwayatkan oleh Bukhari dan Muslim.)

Dari hadith yang disertakan diatas, menunjukkan Allah s.w.t berada diatas langit berdasarkan perkataan turun (yanzilu) dan pastinya Allah s.w.t berada diatas jikalau Dia turun. TurunNya Allah s.w.t adalah wajib kita percayai tanpa ditanyakan bagaimana Allah turun, tanpa mengubah maknanya.

terdapat empat pandangan iaitu:

Pandangan Pertama:
Mereka berpegang dengan zahir maknanya, sehingga menyamakan Allah dengan makhluknya. Mereka itu golongan yang dikenali dengan mujassimat dan musyabbihat. Mereka adalah golongan sesat kerana pandangan ini terpesong dari Islam. Pandangan ini dikategorikan sesat berdasarkan Firman Allah s.w.t dalam asy-Syuraa ayat ke-11 dan surah al-Ikhlas ayat 1-4.

Pandangan Kedua:
Mereka menolak semua ayat dan hadith itu sehingga menafikan segala maksudnya. Menurut mereka, Allah tidak berkata-kata, tidak mendengar, tidak melihat kerana menurut mereka sifat-sifat itu memerlukan pancainderacsedangkan Allah tidak begitu. Mereka itu dikenali dengan golongan mu’attalat dan ada yang menamakannya dengan al-Jahmiyyah. Pendapat mereka salah dan sesat, kerana kita faham sifat-sifat itu wujud dan tidak semestinya melalui anggota dan pancaindera. Kita salah mensyaratkan pancaindera dan anggota kepada sifat-sifat Allah.

Pandangan Ketiga:
Menurut ulama’ yg beraliran salaf, mereka beriman kepada ayat-ayat dan hadith-hadith itu. Mereka menyerahkan maksudnya kepada Allah. Mereka juga beriman dengan ayat-ayat dan hadith-hadith yang menyebutkan perkataan mata, tangan, muka, bersemayam dan lain-lain. Hanya Allah sahaja yang Maha Mengetahui tujuannya.

Pandangan Keempat:
Pendapat keempat dikemukakan oleh ulama’ beraliran khalaf iaitu mereka yang berada selepas kurun kelima Hijrah (ada juga yang berpendapat yang menyatakan selepas kurun ketiga Hijrah). Zaman itu adalah zaman merebaknya pengaruh falsafah ke dalam ilmu ‘Aqidah. Bagi menghadapi hujjah falsafah, mereka berpendapat ayat-ayat al-Qur’an dan hadith-hadith yang mengandungi sifat mutasyabihat itu perlu diperjelaskan dengan huraian dan makna. Mereka berkata yang dimaksudkan dengan muka itu Dzat-Nya, tangan itu kudrat-Nya dan sebagainya.

Dan beliau telah memilih pandagan golongan yang ke-3 tapi tanpa menolak keseluruhan pandangan ke-4.

Demikianlah artikel pendek dari saya yang cetek ‘ilmu didada, jikalau ada kesilapan, minta ditegur.
Wallahua’lam.

Rujukan:
1. Al-Qur’an al-Karim dan Terjemahnya.
2. Syeikh Dr Hasanain Muhammad Makhluf, Kamus al-Qur’an, Malay Trans. Edt [AlBaz Publishing : 1997].
3. Imam Abul Fida Ibn Kathir, Tafsir Ibn Kathir, Eng Trans. Edt [Darussalam].
4. Dr. Muhammad bin Abdurrahman al-Khumais, Aqidah Empat Imam Mazhab, [Jahabersa].