7.6.10

Renungan Akhir Zaman 6---Kembali Kepada Kebenaran

Saudara ,
SEDANG berlaku di depan mata kita kini penyakit-penyakit putus asa, kecewa resah gelisah, penderitaan jiwa, kacau bilau fikiran, rendah diri (inferiority complex), kesunyian, kekosongan hati, rasa keseorangan (loneliness), ketegangan perasaan dan lain-lain bentuk sakit jiwa. Dan sedang berleluasa juga di dalam masyarakat Islam hari ini penyakit-penyakit hasad dengki, bakhil, gila dunia, dendam, cepat marah, salah sangka, tamak, mementingkan diri sendiri, mudah takut, sombong, riak, ujub dan lain-lain.
Walaupun sakitnya tidak nampak oleh mata kasar kita, siapa berani menafikan hakikat ini? Bahawa bilangan orang-orang yang menderita sakit (krisis) jiwa saat ini lebih ramai daripada bilangan penderita-penderita sakit fizikal yang ada di hospital-hospital. Tetapi aneh, kepakaran dan keintelektual tidak terlalu serius memikirkan pengubatan kepada pesakit batin sepertimana seriusnya mereka terhadap pengubatan fizikal lahiriah manusia.

Saudara,
Apakah mereka tidak sedar bahawa pesakit jantung, buah pinggang, kencing manis, barah dan lain-lain itu tidak pernah bunuh diri dan membunuh orang lain? Tetapi pesakit-pesakit batin, pesakit jiwa, kekosongan, rendah diri, putus asa, hasad dengki, dendam, pemarah, buruk sangka dan lain-lain itu akan memungkinkan manusia membunuh diri sendiri atau membunuh orang lain?
Demikian satu bukti bahawa penyakit-penyakit batin itu sebenarnya memerlukan perhatian dan rawatan yang lebih serius daripada rawatan kepada penyakit-penyakit lahir.
Bukan sahaja kerana penyakit batin lebih menyeksakan individu pesakit, tetapi ia bakal memungkinkan kusut dan kucar-kacirnya sesebuah masyarakat.
Telah datang Nabi Muhammad S.A.W ke tengah manusia. Baginda melihat kekusutan dan kemungkaran yang sedang meracuni kehidupan masyarakatnya.
Seorang diri baginda bangun dan bekerja untuk menyelamatkan manusia. Institusi pertama yang baginda bangunkan ialah masjid, satu tempat di mana manusia membersihkan hatinya, melembutkan hatinya, menenangkan hatinya, melapangkan dadanya, membebaskan diri dari ikatan dunianya, iaitu dengan membesarkan Tuhannya melalui sembahyang dan ibadah-ibadah lain.
Rasulullah memandang keselamatan manusia ialah keselamatan hatinya (rohnya) bukan jasad lahirnya. Sebab itu baginda bekerja mengubah dan mengubat hati mereka dan baginda Berjaya.

Saudara,
Kita kini sedang melihat kekusutan dalam masyarakat kita sama sebagaimana apa yang disaksikan oleh baginda Rasul lebih 1400 tahun dulu. Kalau baginda telah berjaya terhadap masyarakatnya mengapa kita tidak mengikut jejak langkahnya?
Kita ubati dulu mazmumah dan krisis jiwa kita, ahli-ahli kita dan masyarakat kita. Kita ketengahkan pada masyarakat pengertian hidup yang hakiki yang dapat mengembalikan manusia pada fitrahnya.
Kita contohkan satu formula yang menjamin kebahagiaan hati dan keselamatannya. Kita perjuangkan kehidupan “sunnah” yang semuanya membawa manusia kepada syurga dunia dan akhirat.
Saudara,
Mana ada selain Islam satu cara hidup yang dapat menjadikan kita terhibur dengan kemiskinan, kesunyian, kesakitan, keseorangan, kematian orang yang dikasihi, kegagalan dan dengan segala bentuk ujian.
Mana ada selain Islam cara hidup yang mengikat hati suami isteri, anak dengan ibu bapa, pengikut dengan pemimpin, pekerja dengan majikan? Mana ada selain Islam cara hidup yang mengajar kita berkasih sayang, bertolak ansur, pemurah, baik sangka dan tolong-menolomg. Mana ada selain Islam cara hidup yang membangkitkan cinta agung manusia pada penciptanya hingga kerana itu manusia mengorbankan hidupnya untuk Tuhannya dan menanti kematian sebagai penantian seorang kekasih kepada pertemuan dengan kekasihnya.

Saudara,
Islam mengajak kita menilik hati kita, mengenalinya dan mengubat sakitnya. Apabila hati sudah terubat, saudara akan temui hati-hati saudara penuh dengan “cahaya” kebahagiaan, ketenangan dan kelapangan. Dan itulah syurga sementara sebelum saudara bertemu Allah untuk menerima syurga yang kekal abadi.
Buku “Mengenal Diri Melalui Rasa Hati” ini memandu saya dan saudara untuk melega kan krisis jiwa, ketegangan fikiran dan kejahatan batin kita. Insya-Allah ! Mudah-mudahan kita akan perolehi keselamatan dan kebahagiaan hidup sebagai-mana yang Allah janjikan.

Dengan berkat kebesaran-Mu Ya Allah, Nabi dan Rasul-Mu Muhammad S.A.W serta keluarga dan sahabat baginda, wali-wali-Mu, khususnya Syeikh Muhammad Suhaimi, jadikanlah, Ya Allah buku ini sebagai ubat pada jiwa kami dan selamatkan hati-hati kami sebagaimana keselamatan ynag Engkau maksudkan dalam firman-Mu:

“Hari kiamat iaitu hari (ketika manusia meninggalkan dunia ini) di mana harta dan anak tidak berguna lagi kecuali mereka yang mengadap Allah membawa hati yang selamat.”
(Asy Syuaraa:88-89)
“Ya Allah, terimalah amalanku ini sebagai amal soleh dan pahalanya ku hadiahkan kepada almarhum ayahanda dan bonda serta guru-guru tercinta. Dan ya Allah, dengan buku ini, jadikan kami cinta pada-Mu dan lebih gigih berjuang untuk menegakkan kalimah-Mu.”

Wabillahitaufikwhidayah
Petikan dari Buku “Mengenali Diri Melalui Rasa Hati”.