5.6.10

Renungan Tentang Syirik

Sebagai seorang mukmin, kita wajib percaya sepenuhnya
terhadap Rukun Iman dan Rukun Islam yang menuntut agar tidak meletakkan
sesuatu yang selain daripada Allah S.W.T sebagai tempat bergantung
sebaliknya hendaklah memperbanyakkan usaha dan berdoa ke hadrat Allah
S.W.T agar memperkenankan segala apa yang dihajati atau mengelak dari
segala kecelakaan yang mendatang.

Rasulullah
s.a.w bersabda, maksudnya:”Sesiapa yang datang kepada dukun kemudian dia
membenarkan terhadap apa yang dikatakan olehnya, maka solat orang itu
tidak diterima Allah selama 40 hari.”

Rasullah s.a.w bersabda: " Sesiapa mati dalam keadaan ia
melakukan sebarang syirik terhadap Allah, masuklah dia ke dalam neraka."

Rasullah s.a.w bersabda: " Jauhkan dan singkirkanlah
perkara-perkara yang membinasakan." Sahabat-sahabat Baginda bertanya: "
Apakah dia perkara-perkara itu ya Rasulullah?'' Baginda s.a.w menjawab:
" (Salah satu yang terbesar di antaranya) ialah melakukan syirik
terhadap Allah…."

Rasulullah s.a.w bersabda: " Sesungguhnya perkara yang
sangat-sangat aku takuti akibat buruknya menimpa kamu ialah syirik yang
kecil."
Apa dia syirik yang kecil itu ya Rasulullah?"
Baginda s.a.w menjawab: "( Syirik yang kecil itu) ialah riak
- Allah Taala akan berfirman pada hari Kiamat apabila manusia datang
dengan amal masing-masing: " Pergilah kepada mereka yang kamu melakukan
riak di dunia dahulu (untuk menunjukan kepada meraka ), kemudian
...lihatlah, adakah kamu akan dapati sebarang balasan di sisi mereka?"

Rasulullah s.a.w bersabda: " Sesiapa bersumpah dengan
sebarang sebutan yang lain daripada nama atau sifat Allah, maka
sesungguhnya ia telah melakukan syirik terhadap Allah."

Tawar jampi, tangkal azimat dan ilmu pengasih adalah haram
di sisi Islam sekiranya ia mengandungi perkataan yang tidak difahami
maknanya atau yang berdasarkan sihir, memuja hantu syaitan dan jin iblis
atau yang mengandungi benda-benda najis dan kotor.

Perbuatan ini adalah termasuk dalam perbuatan ‘syirik yang
tersembunyi’ yang diertikan sebagai mengiktiqadkan sesuatu sebab itu
dengan keadaan hakikatnya memberi kesan yang baik atau buruk, contohnya
disebabkan tangkal azimat yang digunakan itu maka seseorang itu
terselamat daripada bahaya dan sebagainya.

Jika ia menggunakan ayat-ayat al-Quran, nama-nama Allah atau
sifat-Nya atau yang berbentuk zikrullah maka yang demikian tidaklah
diharamkan.

Di antara perbuatan syirik tersembunyi yang lain adalah
seperti;
a) Menanamkan perasaan takut dan gerun kepada kekuatan sesuatu yang lain
dari Allah.
b) Menumpukan harapan kepada sesuatu yang lain daripada Allah.
c) Bersumpah dengan sebarang sebutan yang lain daripada menyebut nama
atau sifat Allah

Di antara perbuatan syirik tersembunyi yang lain
adalah:
d) Mengatakan:” Kalaulah tidak kerana pertolongan dia,
tentulah aku tidak berjaya” dan sebagainya.
e) Mengatakan:” Kalaulah tidak kerana ayam berkokok, polis meronda dan
sebagainya tentulah rumahku dimasuki pencuri”.

Di antara perbuatan syirik tersembunyi yang lain
adalah:
f) Melakukan sesuatu amal ibadat atau membuat
sesuatu pengorbanan, perjuangan, bukan kerana menjunjung perintah Allah
tetapi untuk suatu tujuan yang lain.

Selaku umat Islam hendaklah kita menjauhi segala bentuk perbuatan
yang mensyirikkan Allah kerana dosa syirik adalah dosa yang paling
besar. Sebaliknya hendaklah meletakkan keyakinan bahawa segala sesuatu
itu adalah bergantung pada takdir Allah dan keizinan-Nya jua.

"Zuhud itu bukan hanya pada pakaian kasar yg koyak dan alim itu bukan hanya pada serban jubah,tetapi ia terbit dari HATI." ( al-salik )