6.6.10

RIya'=SYIRIK=Laknat ALLAH.

Ahmad diberikan Allah seorang isteri serta beberapa anak dan yang kecilnya adalah seorang perempuan berusia hampir 2 tahun. Isterinya seorang doktor di sebuah hospital kerajaan. Ramai orang beranggapan bahawa beristeri / bersuami seorang doktor adalah suatu keuntungan yang amat jelas kerana setiap penyakit yang dihadapi oleh sesuatu keluarga akan dapat ditangani dengan mudah. Namun bagi saya adalah tetap sama bagi yang beristeri bersuami doktor atau bukan doktor. Kini doktor pun dalam usia awal empat puluhan pun ada yang mengalami masalah serius dengan buah pinggang serta perlu didialisis setiap beberapa hari. Terdapat juga doktor dengan pelbagai masalah kesihatan kronik lainnya.

Ahmad sebelumnya sudah diberikan anak lelaki dan apabila Allah memberikan anak perempuan pertama, beliaub sangat gembira. Tambahan pula anak perempuannya diberikan Allah rupa paras yang cantik. Apabila melihat anak perempuan yang saya namakan Wati ini, Ahmad sangat senang hati lalu terkeluarlah pujian khas untuk Wati. Semakin hari Wati membesar dan menyerlahkan kecantikannya dan semakin banyak pujian diberikan oleh Ahmad dan juga isterinya. Kedua-dua telinga Wati setiap hari disirami oleh pelbagai pujian oleh Ahmad dan juga isterinya.

Dengan takdir Allah apabila Wati mencecah usia satu tahun, Allah mengurniakan satu penyakit pada kedua-dua telinga Wati sehingga menyebabkan telinganya mengeluarkan cairan seperti nanah dan berbau busuk. Ahmad dan isteri sangat sedih. Wati kerap dibawa ke hospital untuk menjalani pemeriksaan dan rawatan. Pelbagai diagnosis dilakukan oleh para doktor termasuklah doktor pakar. Ada doktor yang mengatakan penyakit Wati sebagai “Otitis Externa”. Pelbagai rawatan dan ubat yang diberikan namun penyakit telinga Wati masih berterusan. Aduh sungguh sedih perasaan Ahmad dan isteri melihatkan anak kesayangan yang diberikan Allah kelebihan kecantikan tetapi kini menghidap penyakit telinga. Kelebihan isteri Ahmad sebagai seorang doktor tidak dapat dimanfaatkan untuk memulihkan penyakit Wati.

Wati semakin membesar, setiap hari telinga Wati terus menerima pujian dari ayah dan ibunya dan penyakit telinganya masih belum dapat dirawat. Hari berganti minggu, minggu berganti bulan, bulan bertukar bulan namun penyakit telinga Wati masih belum dapat dipulihkan. Sedih Ahmad dan isteri bukan kepalang memikirkan penyakit Wati. Berbagai persoalan bermain di kepala. Adakah Wati akan membesar dan dewasa bersama dengan penyakit telinganya?

Kini penyakit Wati sudah menjangkau 6 bulan. 6 bulan yang amat menyedihkan. Kegembiraan menerima Wati hanya sekadar satu tahun sahaja. Kini Ahmad dan isteri tidak sudah-sudah dirundung malang.

Tidak lama selepas itu Ahmad mula belajar di rumah saya. Seminggu sekali Ahmad datang ke rumah saya di waktu malam. Ahmad serius dalam mempelajari ilmu agama yang diajarkan. Kisah anaknya Wati in tidak diceritakan kepada saya. Bila tiba bahagian pelajaran RIAK, saya pun mengajarkan ilmu ini sebagaimana saya ajarkan kepada orang lain. Berikut adalah rumusan pelajaran yang diberikan kepada Ahmad:

1. Riak adalah “perasaan ingin dipuji oleh orang lain”.
2. Riak / bermegah / suka menunjuk adalah sifat Allah – Al Mutakabbir.
3. Membuat sesuatu untuk dipuji adalah di larang dalam Islam dan perbuatan ini menggambarkan pelaku mempunyai sifat riak.
4. Manusia tidak layak dan tidak berhak untuk menerima pujian kerana sesungguhnya manusia telah berikrar di dalam bacaan fatihahnya pada setiap solat iaitu alhamdulillah hirobbil’alamin yang bererti “Segala puji hanya bagi Allah, Tuhan yang memelihara dan mentadbirkan sekalian alam.”
5. Nabi mengajarkan melalui hadisnya bahawa sekiranya ada manusia yang memuji kita, hendaklah kita mengambil pasir lalu melontarkan pasir ini ke muka orang yang memberi pujian ini. Hadis ini sungguh menjelaskan bahawa manusia tidak boleh menerima dan memberi pujian kerana segala pujian HANYA milik Allah SWT semata-mata.
6. Manusia tidak boleh memuji manusia atau makhluk lain kerana hanya Allah yang layak menerima pujian.
7. Melakukan riak hanya merugikan dan mengundang pelbagai masalah. Fahamilah hadis berikut:
“Diriwayatkan daripada Jundub al-Alaqiy r.a katanya: Rasulullah s.a.w bersabda: Sesiapa yang (melakukan satu amalan) supaya orang menghormatinya, Allah akan menunjukkan aibnya dan sesiapa yang (melakukan suatu amalan kerana) ingin menunjuk-nunjuk kepada manusia, Allah akan memperlihatkan kecacatannya” (Bukhari & Muslim: 1720)

8. Sekiranya manusia faham hadis berikut, semua manusia tidak akan melakukan riak kerana riak amat merugikan serta menjadikan pelakunya syirik!! Abu Darda’ Ridzwanullah ‘alaihim meriwayatkan bahawa Rasulullah pernah bersabda mafhumnya:
“Menghindarkan amal dari digembar-gemburkan (diceritakan kepada orang lain), mengerjakannya lebih sukar dari mengerjakan amal itu sendiri. Seseorang mungkin melakukan suatu amal (soleh) lalu dicatat sebagai amal soleh yang dibuat secara “sir” (senyap-senyap). Dengan itu pahala ganjarannya dilipat-gandakan sebanyak tujuh puluh kali ganda. Tetapi syaitan tidak membiarkannya. Syaitan terus merasuknya sehingga ia menceritakan dan menyatakan kepada orang lain. Maka catatan amal itu pun ditukar kepada catatan amal alaniah (terang-terang). Dengan itu ganjaran pahalanya (sebanyak tujuh puluh kali ganda) dihapuskan. Kemudian syaitan terus mendesak orang tersebut agar menyatakan lagi bagi sekian kalinya tentang amalnya. Maka ia sendiri pun suka kalau disebut-sebut hal itu dan terus menerus dipuji. (Akibatnya) catatan amalan tersebut sebagai perbuatan amal alaniah dipadamkan dan ditulis sebagai perbuatan riak. Sebab itulah orang yang paling bertakwa ialah orang yang paling melindungi agamanya. Sesungguhnya riak adalah syirik”
(Hadis riwayat Baihaqi)

9. Perbuatan yang ikhlas adalah amalan yang diterima Allah iaitu perbuatan yang langsung tidak mencari pujian dari manusia dan semata-mata mencari redha di sisi Allah SWT semata-mata.
10. Elakkan perbuatan memuji dan suka di puji.
11. Orang perempuan ramai yang suka dipuji seolah-olah mereka ingin menjadi seperti Allah SWT.
12. Riak dikategorikan Islam sebagai SYIRIK kerana manusia ingin memiliki sifat Allah iaitu Al Mutakabbir. Memang Allah sahaja yang berhak dipuji dan memang Allah SWT suka di puji.

Dalam perjalanan ke rumah, Ahmad bertaubat dan bertekad untuk tidak lagi memuji anaknya Wati. Apabila bertemu isteri, beliau terus menasihati isterinya agar jangan lagi memuji anak perempuan kesayangan mereka iaitu Wati. Isterinya menerima nasihat tanpa bantahan.

Sebaik-baik Ahmad dan isteri tidak lagi memuji Wati, satu keajaiban telah berlaku melalui rahmat Allah iaitu telinga Wati tidak lagi mengeluarkan cairan. Telinga Wati telah pulih dengan begitu sahaja. Itulah Allah SWT Tuhan yang berkuasa, mencipta dan mentadbir sekelian alam. Dengan kuasaNya, apabila lubang telinga Wati tidak lagi menerima pujian dari ibu ayahnya, terus sahaja Allah memberikan rahmatNya lalu sembuh. Selama tujuh 7 bulan Ahmad dan isteri menanggung azab melalui penyakit telinga bernanah yang dialami Wati kini menjadi sejarah. Wati sembuh dan ubatnya ialah “jangan lagi memberikan pujian kepadanya”.

Sesungguhnya Allah memang berkuasa, mengambil ubat yang terbaik namun kalau Allah tidak mengizinkan, pastinya penyakit tidak akan sembuh. Diantara mereka yang berurusan mengenai masalah atau penyakit mereka dengan saya, ada yang selesai atau pulih dalam masa yang singkat tetapi ada yang amat sukar untuk keluar dari masalah atau pulih. Ini semua adalah kehendak Allah SWT dan pastinya ada sebabnya Allah menetapkan sedemikian. Itulah sebabnya dalam kebanyakan hal seperti masalah/musibah atau penyakit, saya amat gemar sekali mengingatkan bahawa kembali kepada mencari keredaan Allah dengan melaksanakan suruhanNya serta menjauhi laranganNya adalah perkara terpenting.

Ada terdapat kes keluarga yang amat bermasalah dari segi kewangan, apabila mereka yang terlibat menyedari kesilapan mereka dan mula kembali kepada Allah, dengan mudah sahaja masalah kewangan yang kronik ini pun selesai dengan izin Allah. Ada yang sudah menghidap kencing manis untuk belasan tahun dengan mudah dapat pulih dengan izin Allah. Begitulah Allah SWT dengan kekuasaanNya mentadbir manusia dan alam ini.

Bagi kes Wati, apabila telinganya menerima sesuatu yang bukan haknya iaitu pujian dari kedua ibu bapanya, Allah berikan penyakit telinga. Begitulah juga apabila kemaluan yang Allah berikan digunakan di tempat yang diharamkan, janganlah sedih apabila Allah mengurniakan pelbagai penyakit kelamin seperti AIDS, siplis dan gonorea.

Sesungguhnya tentang tajuk artikel kali ini iaitu mengenai ayat pertama surah Al Fatihah, hendaklah kita semua redha dan berikrar sesungguhnya “segala puji hanya untuk Allah” dan bukanlah “segala puji hanya untuk Allah dan anak aku dan isteri aku dan diri aku dan .....”. Kita semua manusia sebagai hamba Allah sesungguhnya tidak layak untuk menerima pujian. Sekiranya seseorang isteri berjaya masak makanan yang cukup enak dimakan oleh ahli keluarga, ianya berlaku bukanlah kerana kehebatan isteri tersebut namun adalah kerana anugerah rahmat dari Allah-lah yang menjadikan masakan tersebut enak dimakan. Hujah ini adalah selari dengan maksud ayat An nisaak 79 “apa jua kebaikan (Nikmat kesenangan) Yang Engkau dapati maka ia adalah dari Allah; dan apa jua bencana Yang menimpamu maka ia adalah dari (kesalahan) dirimu sendiri.

Manusia sebagai hamba Allah diajarkan di dalam Islam sebagai lemah dan digalakkan sekali untuk berikrar mengesahkan bahawa dirinya adalah lemah melalui kalimah Lahawlawala Quwatailla Billahil Aliyil Azim – “tiada daya dan upaya kecuali daripada Allah belaka?