10.6.10

Tanggungjawab Suami & Isteri yg Soleh

Sahabat yang dikasihi kerana Allah,
Pembentukan rumahtangga yang didasari dengan keimanan dan ketakwaan kepada Allah s.w.t. akan menjamin lahirnya kasih sayang, keharmonian dan iklim pendidikan yang sihat di dalam pelbagai aspek. Inilah suasana yang subur untuk melahirkan dan membesarkan anak-anak ke arah pertumbuhan yang sihat dari segi roh, akal dan jasmani. Di samping anak-anak, dengan wujudnya suasana seperti ini, ibu bapa di dalam rumahtangga itu juga akan terselamat dari dipengaruhi oleh gejala-gejala yang tidak baik. Justeru itu, ajaran Islam akan dapat dilaksanakan atau disempurnakan.

Benar sabda Rasulullah s.a.w. yang bermaksud :
"Sesiapa yang berkahwin bererti beliau telah menyempurnakan sebahagian dari agama (deen)nya, maka beliau hendaklah bertakwa kepada Allah pada sebahagian yang lain yang masih tinggal."

Dari rumahtangga yang bahagia inilah akan melahirkan Baitul Muslim iaitu rumahtangga Islam. Al-Imam Hasan Al-Banna ada berkata, "Tegakkanlah negara Islam dalam diri kamu sebelum menegakkan negara Islam dalam masyarakat kamu."

Sahabat yang dimuliakan,
Di dalam Al-Qur'an dan hadis Nabi s.a.w. terdapat beberapa tugas dan tanggungjawab suami yang soleh, yang perlu di laksanakan untuk melahirkan rumahtangga yang bahagia. Perkara-perkara tersebut adalah seperti berikut :

1. Bertanggungjawab dalam memimpin rumahtangga.
2. Mempergauli isteri dengan baik dan halus.
3. Memberi makan dan pakaian yang secukupnya.
4. Tidak memperolok-olok atau merendahkan isterinya.
5. Mengarahkan atau mengingatkan isterinya dengan nada yang lembut.
6. Bersabar di atas tingkahlaku isteri yang tidak menyenangkan.
7. Mengajar isteri akan agama (deen) dan hukum-hukumnya (fekah).
8. Wanita-wanita yang kamu khuatiri nusyuznya, maka nasihatilah mereka dan pisahkanlah dari tempat tidur mereka dan pukullah mereka. Kemudian jika mereka mentaatimu, maka janganlah mencari-cari jalan untuk menyusahkannya.
9. Menahan pandangan.
10. Memelihara kemaluannya.
11. Tidak kedekut atau terlalu bermewah-mewah dalam memberi nafkah makan minum, pakai, tempat tinggal serta perabut untuk anak dan isteri.
12. Kasih sayang, mesra serta sentiasa mengambil berat tentang mereka.
13. Tidak terburu-buru dalam menerima fitnah (pengaduan) serta bertindak segera tanpa usul selidik dahulu.
14. Tidak gemar memandang perempuan-perempuan yang lain.
15. Tidak minum arak, berjudi, merokok dan tidak suka buang masa dengan kerja sia-sia.
16. Jujur serta sentiasa menepati janji terhadap anak dan isteri.
17. Sentiasa menjaga kebersihan diri zahir dan batin.
18. Cemburu dalam hal-hal yang mendatangkan maksiat terhadap dirinya, anak dan isterinya.

Oleh itu setiap lelaki yang beriman perlulah melengkapkan dirinya dengan ilmu Islam, akhlak yang mulia dan hati yang bersih dan hidup, supaya setiap tanggungjawab di atas dapat di laksanakan dengan baik dan sempurna.

Wanita Solehah ibarat sekuntum bunga yang harum yang telah di jaga dan di pelihara dengan baik. Perjalanan harian kehidupannya penuh dengan keimanan dan ketakwaan kepada Allah s.w.t. Sentiasa menjaga kehormatan diri, menutup aurat, cukup berhati-hati di dalam percakapan, pergaulan dan tidak menimbulkan fitnah dan syak wasangka.

Sabda Rasulullah s.a.w. yang bermaksud :
"Sesungguhnya dunia dan seluruh isinya adalah perhiasan dan sebaik-baik perhiasan ialah wanita yang solehah."
(Hadis Riwayat Muslim)

Wanita Solehah adalah mereka yang berilmu, cerdik dan pintar. Setiap hari mendalami Ilmu Islam, mengkaji tafsir Al- Quran, hadis Nabi, memahami ilmu realiti semasa dan tahu cara-cara mengubati penyakit masyarakat. Di malam hari menjadi seorang abid, membaca Al-Quran, berzikir kepada Allah, sembahyang tahajjud dan berdoa kepada Allah hingga menitiskan air mata.

Wanita Solehah sentiasa menghiasi diri dengan akhlak Islam dan sifat-sifat terpuji yang boleh melindungi dirinya dari kemurkaan Allah s.w.t., bersedia menjadi isteri yang taat kepada suami, berfikiran positif terhadap poligami dan bersedia berkongsi kasih sayang jika di takdirkan berlaku di dalam rumah tangga.Menjaga kehormatan diri, menjaga harta suami dan meneruskan proses tarbiyyah keatas anak-anak ketika ketiadaan suami di rumah.

Wanita Solehah juga pandai mengemas dan menghias rumah. Pandai menguruskan perbelanjaan keluarga dengan berjimat cermat dan tidak boros. Pandai mengambil hati suami dan anak-anak dan tahu menyediakan menu makanan yang berhasiat untuk keluarga dan berkemahiran menjahit pakaian.

Nabi s.a.w bersabda yang bermaksud:
"Mana-mana perempuan yang memakai bau-bauan kemudian melintasi lelaki, agar mereka tercium bau harumnya, maka dia adalah perempuan zina dan tiap-tiap mata yang memandangnya itu adalah zina"

"Perempuan yang melabuhkan pakaiannya dalam keadaan berhias (bukan untuk suami dan muhrimnya) adalah seumpama gelap gelita di hari qiamat, tiada nur baginya."

Wanita Solehah mestilah melengkapkan diri dengan ilmu akademik, sains dan teknoloji, kedoktoran, kejururawatan dan pendidikan.Ilmu-ilmu ini amat penting untuk pembangunan masyarakat Islam yang berteraskan Al-Quran dan Sunnah.Kedoktoran dan kejururawatan amat di perlukan untuk merawat pesakit-pesakit terutama wanita Islam.

Bidang pendidikan pula amat di perlukan untuk mendidik generasi baru umat Islam kearah melahirkan satu generasi seperti generasi sahabat-sahabat Rasulullah s.a.w.

Wanita Solehah bersedia menjadi ibu mithali mendidik anak-anak hingga menjadi anak-anak yang soleh dan solehah. Sentiasa meniupkan semangat jihad, menanamkan asas-asas Islam dan aqidah Islam dalam jiwa anak-anaknya.

Bersabar menghadapi keranah anak-anak dan sentiasa mengujudkan biah solehah di dalam rumah hingga menjadi "rumahku, syurgaku". Dari sinilah akan melahirkan Baitul Muslim dan seterusnya masyarakat Islam dan Daulah Islamiyyah.

Wanita Solehah bukan sahaja menjadi isteri dan ibu solehah tetapi dia juga menjadi murabbi dan da'ie. Sentiasa sebuk menjalankan kerja-kerja dakwah dan tarbiyyah untuk mengajak para wanita lain agar mereka bersama-sama menjadi wanita-wanita yang benar-benar beriman kepada Allah s.w.t.

"Sesungguhnya tangan yang menghayun buaiyan ini boleh mengoncang dunia"




inspirasi hati