7.6.10

Ulama' Dunia VS Ulama' AKHIRAT

Bagi ulamak akhirat, terdapat tanda-tandanya yang dapat dilihat: "Tidaklah ia menuntut dunia, dengan ilmunya akan masalah-masalah agama. Bahawa tidaklah berlainan kata-katanya dengan perbuatannya. Dan pada perkara perintah, dialah yang mula-mula beramalnya. Dan pada larangan dialah yang mula-mula menghindarinya."


"Dan adalah ia mementingkan ilmu yang nyata membawa gemar kepada taat. Dan ia menjaga dirinya dari ilmu yang melulu memperbanyakkan kata-kata yang sia-sia dan yang menghiasi perdebatan. Dan ia menjauhi berfoya-foya tentang makan. Berbagus-bagus pada perabot dan rumahtangga. Dan menjauhkan bersenang-lenang dan berhias-hias dengan pakaian."


"Dan cenderung ia kepada redha pada apa yang ada (qana'ah). Dan menjauhi diri ia dari menggauli sultan (pemerintah), dengan erti tidaklah ia masuk walaupun satu hari kecuali untuk menasihati atau menolak zalim atau memberi pembelaan terhadap apa-apa yang membawa kepada redha Allah. Maka bolehlah masuk."

Dan terhadap fatwa-fatwa, tidaklah ia ceroboh. Dan dikatakannya : "Tanyakanlah hal ini kepada orang yang ahli." Tidak mahu ia berijtihad kalau belum keadaan menentukan harus begitu dan dikatakannya, "Saya tidak tahu", bila hal tersebut tidak mudah baginya. Dan bertujuan ia dengan ilmunya untuk mencapai kebahagiaan Akhirat yang besar. Dengan demikian, yang dipentingkannya adalah ilmu batin dan meneliti persoalan hati ,dan keselamatan hatinya dibuat segala macam siasah." (Hidayatul Azkiya ila Thoriqotil Awliya)

Sifat-sifat ulama Dunia

"Ulamak dunia, iaitu ulamak yang jahat. Tujuan mereka dengan ilmunya untuk mendapatkan kesenangan dunia, dan mendapatkan kemegahan dan kedudukan di sisi ahli dunia." (Hidayatul Azkiya ila Thoriqotil Awliya)

Imam al-Ghazali menyebut dalam kitab Bidayatul Hidayah tentang sifat ulamak dunia atau sifat ulamak suu atau ulamak jahat.

"Dan orang yang ketiga ialah orang yang telah berpengaruh syaitan atasnya. Maka dijadikan ilmunya perantaraan untuk menimbun harta-benda dan berbangga-bangga dengan pengaruh dan jadi mulia dengan sebab banyak pengikut dan menipu ia dengan ilmunya akan segala tipuan, kerana mengharap berhasil segala hajat nya pada dunia."

"Dalam masa yang sama, tersemat dalam hatinya merasa bahawa ia di sisi Allah mempunyai kemuliaan dan kedudukan, kerana dia sudah bergaya dengan gaya ulamak, dan berasmi dengan adat ulamak pada uniform tingkah-laku dan cara berbicara, padahal dia dengan zahir dan batinnya serentak telah melompat kepada dunia belaka."

Maka inilah orang yang termasuk dalam golongan orang yang binasa dan orang kurang akal yang terpedaya. Kerana harapan untuk bertaubat telah putus darinya. Sebab pada sangkaannya dia sudah tergolong di kalangan orang yang baik-baik. Tetapi dia lalai dari memerhatikan firman Allah: "Hai orang yang beriman, mengapa kamu katakan suatu perkara padahal kamu tidak lakukannya?". Dan dia sudah termasuk dalam status yang disabdakan Nabi SAW: "Ada sesuatu yang lebih aku bimbangkan atas kamu lebih dari Dajjal." Maka sahabat bertanya: "Apakah itu, ya Rasulullah?" Sabdanya: "Ulama yang jahat".